Wednesday, June 26, 2013

Motivasi: Dia yang tiada siapa-siapa, punya Allah SWT.




Kesedaran adalah antara perkara terpenting dalam kehidupan manusia.
Kesedaran, kewarasan, adalah apa yang akan mampu mengeluarkan manusia dari sebarang permasalahan. Daripada kesedaran akan datangnya ketenangan dan kekuatan.
Namun, tidak ramai manusia yang mampu mengekalkan kesedaran dan kewarasannya. Apatah lagi apabila gelombang mehnah dan tribulasi tidak henti-henti menghempasnya. Sampai satu saat, kesedaran dan kewarasan itu hilang, dan jatuhlah dia ke satu tempat yang rendah lagi hina. Tersesat dalam perjalanannya di atas dunia.
Tetapi wujud di dalam dunia ini, manusia yang dilambung mehnah dan tribulasi, namun kekal bertahan dan bertenang. Dia berjaya mengekalkan kesedaran dan kewarasannya.
Apakah rahsia mereka?
Rahsia mereka adalah, mereka menghadirkan Allah SWT dalam kehidupan mereka.

Pegangan terutuh
Mereka yang menghadirkan Allah SWT dalam kehidupan mereka, akan mempunyai pegangan terutuh, terkukuh. Hal ini kerana, pergantungan kepada Allah SWT mempunyai beberapa ciri pengekal ketenangan yang ampuh.
Berikut ciri-cirinya.
1 – Wujud dalam kepercayaan kepada Allah bahawa Allah itu Tidak Menzalimi Hamba-hambaNya.
Jelas bahawa, bagi yang mempunyai hubungan yang erat dengan Allah SWT, keyakinan bahawa Allah tidak menzalimi hamba-hambaNya akan membuatkan hamba-hambaNya tabah melalui ujian dan cabaran, walau seberat mana pun ujian tersebut. Kerana mereka tahu, ujian dan cabaran itu, bukan tanda Allah sedang menzalimi mereka, bahkan ujian dan cabaran itu dipandang sebagai catalyst(pemangkin) agar diri mereka menjadi hamba Allah SWT yang lebih baik. Kepercayaan ini membawa kepada kepercayaan – Apa-apa sahaja yang Allah beri itu adalah baik, walaupun nampak buruk buat kita.
“Dan tidaklah Allah itu mengkehendaki (untuk berlaku) zalim kepada hamba-hambaNya.” Surah Ghaafir ayat 31.
Daripada Abu Zar al-Ghifaari r.a, daripada Rasulullah s.a.w berdasarkan apa yang diriwayatkannya daripada Tuhannya yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi bahawasanya Ia berfirman : “Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku mengharamkan ke atas diri-Ku kezaliman…” Hadith Riwayat Muslim. Boleh didapati sebagai Hadith yang ke-24 di dalam Hadith 40 Karangan Imam An-Nawawi.
Nyatanya, ketenangan akan terus kekal apabila mempunyai kefahaman begini.
2 – Wujud dalam kepercayaan kepada Allah bahawa Allah itu Tidak Memungkiri JanjiNya.
Jelas bahawa, bagi yang mempunyai hubungan yang erat dengan Allah SWT, mereka percaya bahawa Allah itu Tidak Memungkiri JanjiNya. Allah SWT sudah berjanji bahawa kebaikan itu akan dibalas, walau sebesar zarah. Kejahatan itu akan dibalas walau sebesar zarah. Allah berjanji akan memberikan bantuan dan kemenangan. Dan Allah berjanji, tidak akan memungkiri janji-janjiNya ini.
“Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhannya mereka mendapat tempat-tempat yang tinggi, di atasnya dibangun pula tempat-tempat yang tinggi yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Allah telah berjanji dengan sebenar-benarnya. Allah tidak akan memungkiri janji-Nya.” Surah Az-Zumar ayat 20.
Maka bagi yang percaya, dugaan dan cabaran akan dilalui dengan sabar dan tabah, menanti Allah SWT menunaikan janji-janjiNya. Dengan itu, ketenangan itu kekal.
3 – Wujud dalam kepercayaan kepada Allah bahawa Allah itu Amat Dekat Dengan Hamba-hambaNya.
Jelas bahawa, bagi yang mempunyai hubungan yang erat dengan Allah SWT, mereka percaya bahawa Allah itu Amat Dekat dengan hamba-hambaNya. Justeru, mereka rasa kuat dan cekal dengan kepercayaan ini. Mereka tahu bahawa mereka tidak bersendiri. Mereka tahu bahawa Allah sedang menilai mereka. Mereka tahu Allah SWT sentiasa bersama mereka. Maka apakah mereka hendak meninggalkan Allah SWT dengan berputus asa?
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” Surah Al-Baqarah ayat 214.
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo’a apabila berdo’a kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka itu beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” Surah Al Baqarah ayat 186
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan Kami lebih dekat dari pada urat lehernya.” Surah Al Qaaf ayat 16
Ini juga mengekalkan ketenangan dan kewarasan. Lantas cabaran dan dugaan itu dilalui dengan tabah dan penuh kecekalan.
Dan banyak lagi sebenarnya. Namun tiga ciri ini adalah yang terutama, yang menyebabkan mereka yang menghadirkan Allah SWT dalam kehidupan mereka, kekal bertenang walaupun dalam kepayahan yang dilalui oleh mereka.
Tidak mahu percaya? Lihatlah mereka.
Kita mempunyai contoh-contoh yang sudah dipahatkan di dalam sejarah, untuk kita contohi dan ambil pengajaran.
Kisah 1
Lihatlah Rasulullah SAW, semasa peristiwa hijrah, saat baginda bersembunyi di dalam gua dan hampir ditemui. Abu Bakr RA ketika ini ketakutan dan gelabah, risau ditemui. Tetapi apakah sabda Rasulullah SAW ketika itu?
“Wahai Abu Bakr, apakah pandangan engkau sekiranya kita berdua ini, dan Allah adalah yang ketiganya?”
Terus sahaja kegusaran di dalam jiwa Abu Bakr itu lenyap. Dan lihatlah bagaimana tenangnya Rasulullah SAW. Kerana apa? Kerana baginda menghadirkan Allah SWT dalam kehidupannya.
Kisah 2
Ketika Musa AS terhimpit antara laut dan tentera Firaun yang mengejar dia dan Bani Israel yang dipimpinnya, dia kekal bertenang. Walaupun pada saat itu Bani Israel kucar-kacir ketakutan, bahkan ada yang mencadangkan agar mereka menyerah diri kepada Firaun.
“Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: Sesungguhnya kita akan dapat ditawan.” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 61.
Tetapi apakah kata-kata Musa AS pada ketika itu?
“Sesekali tidak, sesungguhnya aku bersama Rabbku yang memberikan petunjuk.” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 62.
Kisah 3
Ketika Yusuf AS dihimpit oleh imra’ah aziz(yang sering kita kenali sebagai Zulaikha), yang ingin menggodanya untuk melakukan hubungan terlarang, Yusuf AS kekal bertenang dan tidak jatuh kewarasannya. Dia tidak pula menerkam Zulaikha mengikut nafsunya.
“Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya, dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: Marilah ke mari, aku bersedia untukmu. Yusuf menjawab: Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan Berjaya.” Surah Yusuf ayat 23.
Dan apabila dia dipenjara, akibat tidak mahu mengikuti nafsu Zulaikha, dia berkata:
“Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya.” Surah Yusuf ayat 33.
Nyatanya, terserlah ketenangannya itu. Langsung kewarasannya tidak hilang dengan ujian-ujian tersebut.
Sebab itu, hubungan dengan Allah SWT adalah kunci kepada ketenangan dan kewarasan, dalam menghasilkan kecekalan dan ketabahan merentas masalah kehidupan.
Namun permasalahan utamanya adalah…
Namun hari ini, Allah SWT itu tidak kita hadirkan dalam kehidupan kita. Kita sekadar beriman di atas kad pengenalan semata-mata. Ramainya sekadar memagarkan hubungan dengan Allah SWT di dalam masjid, dan saat-saat kemalangan, juga apabila berlaku kematian.
Inilah yang membuatkan manusia, kehilangan kewarasan diri apabila dilambung badai mehnah dan tribulasi. Bila ada masalah, ada yang kelar tangan bunuh diri. Bila ada masalah, ada yang jatuh tak bangkit kembali. Ini semua kerana, Allah SWT tidak dihadirkan dalam segenap kehidupan insani.
Sememangnya, orang-orang yang melupakan Allah SWT, dia akan Allah SWT lupakan.
“Mereka telah lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka.” Surah At-Taubah ayat 67.
Penutup: Dia yang tidak punya siapa-siapa, ada Allah SWT
Sebab itu, kita perlu melihat semula akan perkara ini. Hal ini kerana, kesedaran dan kewarasan adalah satu perkara yang amat penting dalam mengekalkan ketabahan dan kecekalan kita. Ramai telah tersungkur dan gagal apabila dilambung ujian. Jangan kita pula yang menjadi yang seterusnya.
Mari. Ubat sudah berada di hadapan kita. Bahkan, selama ini memang penawar ini wujud bersama kita. Kita sahaja yang tidak mengambilnya.
Kita koreksi kembali hubungan kita dengan Allah SWT.
Dan menjadi manusia yang tabah dan cekal.
Hatta kalau nanti kita tiada siapa-siapa di sisi kita, kepercayaan bahawa wujudnya Allah bersama kita itu membuatkan kita mampu membelah segala cabaran dan dugaan di atas dunia. Hingga mampu menjejak syurgaNya.

Friday, June 7, 2013

Cerpen : Andai itu adalah takdirNya



Melihat air yang mengalir di sungai ini menambahkan lagi kesyahduan hatiku.
air yang menderu, mengalir dengan tenang
seumpama menemani hati ku di kala aku bersedih.
Aku akan terus menantimu sahabat.
Cita-cita mu akan ku tunaikan

Termenung. Bosan. Melihat manusia bertali arus melalui dihadapannya.Rasa sedikit menyesal kerana hari ini tergopoh-gopoh turun ke dewan selera. Rupa-rupanya hari ini dewan selera akan dibuka lambat sedikit berikutan dengan minggu peperiksaan.Kalau dia tahu keadaan sebegini berlaku, lebih baik dia duduk di musolla, boleh la luangkan masa untuk beribadat sedikit.

Aku memang tidak mempunyai kawan rapat di sekolah ini. Aku digelar kera sumbang kerana aku kurang berkawan. Sepanjang aku berumur 15 tahun, aku hanya mempunyai seorang sahabat yang boleh dikatakan rapat namun dia telah menghancurkan kepercayaan aku kepada insan-insan yang bergelar sahabat.

"ada orang duduk tak?"

gegendang telingaku menangkap kata-kata tersebut. Menyebabkan aku segera berpaling ke sebelah aku. Seorang senior pelajar tingkatan 4 merangkap senior kelas aku.Yang aku dengar dia ni seorang yang cukup baik.

"duduklah.tiada orang pun duduk di sini. Takut barangkali dengan ana"

"memang tiada kawan kah?"

"erm" jawab aku acuh tak acuh

"Oh, biasalah tu. Lama-lama ada la sahabat tu"

Aku tenungnya seolah-olah singa hendak menerkam buruannya. Dia berbicara seolah-olah dia telah mengenali aku selama 10 tahun.

"enta cakap macam enta kenal sahaja ana"

"masakan ana tidak kenal enta. Enta dah duduk di sini 3 tahun. Duduk satu dorm dengan ana pulak. Lagipun, siapa tak kenal adik Khir Johari. Mantan presiden Badan Wakil Pelajar"

Ah, hanya itu sahaja yang mereka kenal. Adik kepada mantan presiden BWP. Aku dihantar ke sini pun atas alasan senang untuk abang aku menjaga aku.

"nama ana Umair"katanya sambil dengan mukanya yang tersenyum.

"nama enta siapa? ana hanya tahu yang enta ni adik Khir. Aku agak rapat dengan Khir"

"muhammad Hafiszi" jawab aku perlahan

Umair kekal tersenyum. Senyumannya sudah cukup untuk menghancurkan tanggapan negatif yang selama ini bersarang di kepala aku

"jom makan. Dah bukak dah tu." sambil menghulurkan tangannya untuk menarik Hafiszi

******

Masa pantas berlalu. sedar tidak sedar, perhubungan persahabatan mereka semakin rapat. Mereka sering digelar adik beradik. Tatkala Khir mendengar berita ini, dia hanya tersenyum dan berkata yang Hafiszi mempunyai seorang abang yang baru. Tambahan pula kemana Umair pergi mesti ada Hafiszi.Mereka turut merancang program kerohanian bersama.

Nyata setahun berlalu begitu sahaja dan setahun itulah diisi dengan banyak perkara yang indah. Hafiszi ternyata cukup bersyukur dengan kehadiran Umair. Sikapnya yang negatif banyak sekali berubah. Dan ternyata, kini dia mempunyai ramai sahabat.Namun, dia tidak pernah sesekali melupakan Umair.

Ahli dorm mereka kini bagaikan sebuah keluarga yang cukup rapat atas hasil usrah dan tarbiyah yang dijalankan oleh Hafiszi dan Umair.

"fizi"tegur Umair yang sedang melihatnya termenung atas katil selepas solat subuh. Ternyata panggilannya tidak dijawa

Umair tidak mahu menganggu adiknya itu. Tanpa membuang masa, dia terus ke tandas untuk membasuh baju dan kemudiannya mengemas bilik tanpa bantuan yang lain.Mungkin Hafiszi sedang dibelenggu masalah.

Jam sudah menunjukkan pukul 8 dan tiba masa untuk mereka melakukan usrah. Umair yang sudah melakukan kerja-kerja memanggil Faiz dan Luqman untuk melakukan usrah.

Apabila mereka sudah duduk bersila dilantai dan lutut mereka bertemu lutut, tiada siapa yang bersuara. Mereka masih lagi tidak bersuara. Hanya melihat Hafiszi yang masih termenung.

"Kenapa dengan adik enta tu?"

"entah"

"angau kot"

mendengar perkataan angau menyebabkan leher Hafiszi automatik berpaling kearah mereka
dengan gelabah.

"kenapa?Apa yang berlaku?"

"itulah orang tengah fikirkan bidadari. Gempa bumi pun rasanya tak perasan"

"apa la yang enta termenungkan lepas subuh ni?"

"bidadari dikayangan la tu"

Luqman dan Faiz tergelak. Muka Hafiszi menjadi merah kerana diusik oleh Umair.

Mereka berempat duduk di tengah-tengah bilik untuk melakukan usrah seperti biasa yang dilakukan tiap-tiap minggu. Adakalanya mereka berkongsi masalah.

"Salahkan ana jatuh cinta?"soal Hafiszi

Semua terdiam. Tidak sangka yang Hafiszi akan berkata begitu. Sewaktu itu masa seolah-olah berhenti berputar.

"la. Kenapa pulak jadi tunggul kayu ni? Salahkan soalan ana tadi"

Umair tersenyum.Nyata sangkaannya benar.

"woaah. Hebat la Umair teka tadi"

"Apabila hati disatukan atas keimanan, kita saling tak tumpah macam adik beradik. Cubit peha kiri, peha kanan turut terasa sakitnya" balas Umair dalam keadaan berseloroh.

"enta jatuh hati dengan siapa?"

"entah"

"haa...ni mesti dengan Fatimah.."

"mungkin"

"La...Apesal pulak mungkin? Kalau mungkin baik tak payah termenung panjang"

Hafiszi menjatuhkan pandangannya ke lantai. Malu. Mukanya merah.

"Ni kenapa pulak antum tengok ana? Segan la"

Pandangan mereka tiba-tiba beralih kepada Umair.

"La, ni apa kes pulak pandang ana?"

"Cepat la bagi tazkirah dekat adik enta ni.Kesian dia"

Umair hanya tersengih. Dia faham apa yang dilalui oleh Hafiszi

"mukadimahnya,cinta itu mesti diiringi dengan pengorbanan. Tanpa pengorbanan, bukanlah cinta namanya"

Semua terdiam. Begitu teruja mendengar mukadimah tersebut. Umair memandang kearah sahabat-sahabatnya itu

"kita bersambung dalam episode yang akan datang. Tutup majlis kita dengan tasbih kifarah dan surah Al-Asr"

"Ha?Tu je?"

"La, Ana dah janji dengan adik ana sorang ni nak pergi study sekali. Lagipun dah pukul 9.30 pagi dah ni. Uhibbukafillah Hafiszi"

"amboi. Hafiszi sorang je ke? balas Faiz sambil tersenyum.

Hafiszi menggaru kepalanya yang tidak gatal. Tersengih apabila teringat kata-kata Umair itu.

*************

"tengah buat apa?" soal Hafiszi

"ni ha... Ana tengah isi borang sambung belajar ke Mesir"

Ya. Hafiszi terlupa yang Umair SPM tahun ni

"Tahun depan ana dah takda. Enta ok ke?"

"hehe. Ingat ana budak darjah satu ke perlu dijaga dan dibelai"

"ye lah. kesian enta. kali pertama berpisah macam ni" balas Umair sambil membelai kepala adiknya itu.

Entah mengapa. Hafiszi selesa kepalanya dibelai sebegitu. Seolah-olah Umair itu adalah abang kandungnya.

"Enta macam tak pernah berpisah dengan ana pulak. Bukan ke selalu kita berpisah waktu cuti semester" balasnya kembali sambil menjelir lidah kepada Umair. Umair tersenyum.

"ana ada hadiah buat enta. Tapi bukan ana yang hadiahkan. Fatimah. Orang yang enta cintai"

"ha??" Hafiszi tergamam tanpa berkata apa

"Enta, ana nak pesan perkara yang sama yang disampaikan oleh Fatimah. Ana tahu enta pernah tulis surat kepada Fatimah. Hafiszi, ana anggap enta macam adik ana sendiri. Andai enta tercampak kedalam lubang neraka, ana akan sama-sama terjun untuk tarik enta.


Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji, laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji, sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik; mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia.
[QS an-Nuur, 24:26]

Andai enta betul-betul cinta, ingatlah yang menciptakan enta. Dia lah yang selayaknya"

Hafiszi tersedu. Air matanya mengalir membasahi pipi. Perlahan-lahan Umair mendakapnya. Dia tahu Hafiszi tidak kuat untuk menempuhi cabaran dan dugaan ini.

"Ana tak dapat bayangkan hidup ana tanpa enta" balas Hafiszi dalam keadaan tersedu-sedu

"Hidup dan mati di tangan Allah. Daripadanya kita hidup. Kepadanya kita kembali"

Suasana menjadi sunyi. Hanya kedengaran bunyi air yang berderu mengucap tahmid kepada Allah. Angin yang membelai pipi mereka menderu mengalun tasbih kepada Sang Khaliq dan kicauan unggas melafaskan takbir.Malam itu menjadi saksi betapa Umair menyayangi Hafiszi.

"Hafiszi. Ana uhibbukafillah."

Air mata Hafiszi semakin lebat membasahi pipinya. Dia begitu mengerti dengan kata-kata tersebut.

Pesanan tersebut cukup bermakna dan mengukuhkan lagi tali-tali keimanan mereka.

Tiba-tiba, dakapan Hafiszi menjadi berat. Debar!

"Umair"

Panggilan Hafiszi tidak dijawab.Hafiszi terduduk, memangku Umair.Dia membiarkan Umair membaring diatas pehanya. Dia sempat senyum kepadaku sebagai tanda tidak risau. Kemudian matanya perlahan-lahan tertutup.

*******

Hancur hati Hafiszi melihat derita yang ditanggung oleh Umair. Sepanjang waktu Hafiszi menemani Umair. Dia hanya meninggalkan Umair ketika dia solat sahaja. Dia tidak lapar. Yang diperlukan hanyalah sentuhan Umair yang dianggapnya macam abang kandungnya sendiri.

Pucat. itulah yang boleh digambarkan keadaan Umair. Hafiszi bertahajjud setiap malam agar diberi kesihatan kepada Umair.

Setelah seminggu berlalu, Umair mula sedar. Namun dia tidak mampu berkata apa-apa lagi. Apa yang dilakukan hanyalah senyum sahaja. Dia mahu menenangkan jiwa Hafiszi.Senyuman itu juga menandakan dia kuat untuk menghadapi ujian ini.

Keadaan Umair beransur pulih.

"hafiszi"

Hafiszi yang ketika itu sedang tidur diusap kepalanya.

"Uhibbukafillah Hafiszi"

sayu suara Umair memecah gegendang telinga Hafiszi.Dia terjaga dari tidurnya melihat Umair. Tiba-tiba airmatanya mengalir. begitu juga Umair. Tersenyum walaupun airmatanya mengalir.
Hafiszi peluk seerat-eratnya Umair.

"Ana Uhibbukafillah, abang"

Umair membalas pelukan Hafiszi semakin erat.

"Itu kali pertama ana dengar enta panggil ana abang dan balas ayat tersebut, sudah setahun ana tunggu dan akhirnya..."

Tangisan mereka makin kuat.

"Ana ada satu permintaan"

"apa dia"

"tolong bawakan ana ke tepi sungai tu"

Jarinya menunjukkan kearah satu tempat di sekitar hospital.

**************

Kicauan unggas mengisi kesunyian alam. Angin yang bertiup lembut membelai ubun kepala mereka. Bunyi air yang menderu diiringi dengan bacaan al-quran Hafiszi. Kini dia yakin bahawa Umairlah yang dicintainya. Bukan Fatimah.

"abang tahu, Selepas cinta kepada Allah,rasul, arwah ayah dan ibu ana, abanglah insan yang paling ana cintai." kata Hafiszi

"Kalaulah satu hari nanti, satu dunia tinggalkan enta, sampai nanti mungkin isteri dan anak-anakpun tinggalkan enta, enta agak siapa yang akan berada di sisi enta pada waktu itu?" soal Umair

Ketika itu hanya kedengaran kicauan unggas sahaja yang berbunyi

"ana" sambil menepuk dada.

"ana lah yang akan berada di sisi enta pada waktu itu dan kerana enta jualah ana cintai sepenuh hati" balas Umair dalam keadaan teresak-esak.

Perlahan-lahan Hafiszi memeluk erat. Pada ketika itu,Hafiszi terharu dengan kata-katanya.

"Uhibbukafillah Hafiszi.Balaslah buat kali terakhir."Pintanya. Sayu sekali

"ana Uhibbukafillah"

tiba-tiba Umair rebah. Darah mula mengalir dari hidung.Dia tersengih. Dahinya berkerut menahan perit.Wajahnya mula pucat. Bibirnya terketar-ketar.

"Allah SWT berfirman:Boleh jadi benda yang kamu tidak suka itu baik untuk kamu, dan boleh jadi juga benda yang kamu suka itu buruk bagi kamu. Allah itu maha mengetahui, dan kamu tidak mengetahui apa-apa"

Hafiszi membisu sambil menahan sebak.

"bisikkan kalimah syahadah ditelinga ana"

Terkejut Hafiszi dengan permintaannya itu.Perlahan-lahan didekatinya ketelinga Umair

"terima kasih kerana sudi singgah dalam hidup ana. Yang ana cintai kerana Allah" Menitis air mata Hafiszi.

"terima kasih buat adik jua"

"Asyhadu anla ilaha illallah waasyhadu anna Muhammadar-rasulullah"

Suasana menjadi sepi. Hafiszi kembali berdiri. Hujan mula membasahi kedua-dua insan itu. Alam seolah-olah menangis dengan kejadian itu. Petir menyambar seolah-olah menyambut pemergian Umair. Dan hembus nafasnya terakhir meninggalkan Hafiszi. Dia terduduk. Seolah-olah mendengar bisikan Umair

"Allah sentiasa bersamaku,Allah jua di sisi enta Hafiszi. Pasrahlah"