Sunday, August 24, 2014

Untukmu Para Du'at

Ramai yang mengimpikan syurga, namun sedikit sahaja yang betul-betul berusaha untuk ke syurga. Allah menghiaskan syurga itu dengan keperitan dan kesusahan agar manusia ini betul-betul berusaha untuk memasuki syurga. Allah juga menghiaskan neraka dengan dunia dan hawa nafsu agar ia menjadi peringatan kepada manusia yang dunia dan hawa nafsu ini sebenarnya tiada nilai. Namun ramai manusia tewas kepada 2 perkara. Tidak ramai yang mampu bermujahadah melawan keduanya.


Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).
(29:64)


Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.
(38:26)
Nah. Itu kalam Allah yang telah diturunkan sejak 1400 tahun yang lalu. Adakah kita mampu berdalih lagi dengan memberi alasan "tak sampai seru lagi"? Sungguh, dunia dan hawa nafsu itu langsung tiada nilai. Malah sesiapa yang mengikutinya akan di cela lagi.


Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?
(48:23)

Dalam kehidupan kita di alam ini, sedarilah tiada jalan tengah dalam membuat keputusan. Ini kerana segala yang bukan islam adalah digelar Al-hawa.Syariat hanyalah satu dan berasal dari Allah. Selain daripada itu hanyalah nafsu bersumberkan jahiliyah. Para du'at seharusnya sedari mengenai ini. Mereka mestilah hanya bersumberkan syariat Allah.Tidak boleh memilih selain dari itu.
Wahai para du'at, kita seharusnya menjadi lebih peka dengan keadaan masyarakat kita pada hari ini. Mereka bergelumang dalam lumpur yang gelap, busuk, dan yang menghairankan adalah mereka selesa dalam keadaan sebegitu. Seumpama mereka masih lena dalam tidur tanpa sedari dikeliling mereka adalah api yang marak menyala dan hampir membakar mereka.
Kita sebagai du'at seharusnya menyelamatkan mereka daripada api tersebut.Sebarang usaha untuk memperingatkan mereka yang tidur dari bahaya api akan menjadi sia-sia, jika dilakukan sebelum mereka terjaga dari tidur. Mereka tidak akan mendengar dan mentaati peringatan itu kerana mereka sedang nyenyak tidur. Jadi mereka mestilah dibangunkan terlebih dahulu barulah diberikan peringatan.
Tatkala dalam usaha mengejutkan mereka dari tidur yang lena, mereka tidak mahu diganggu dan lebih gemar untuk meneruskan tidur mereka.Ini kerana mereka masih tidur dan tidak sedar bahawasanya api dikeliling mereka hampir menyambar mereka. Sekiranya mereka sedar, nescaya mereka akan terus terjaga dari tidur mereka. Kata-katanya yang mengatakan bahawa mereka sudah sedar itu tidak boleh dipercayai dan mereka seharusnya disusuli dengan tindakan mereka untuk menjauhkan diri mereka dari api tersebut.

begitulah sikap para daie dalam menyelamatkan diri orang disekeliling mereka.Mereka haruslah bersabar dengan setiap kerenah yang ditunjukkan kepada mereka oleh orang yang diseru oleh mereka. Janganlah kita mudah terpengaruh kepada masyarakat di sekeliling kita yang bergelumang dengan lumpur hitam dan busuk. Segala usaha yang kita curahkan itu akan menjadi bekalan kita di ahirat. Yang dinilai bukanlah hasil daripada apa yang kita kerjakan, namun hanyalah usaha.