Monday, May 27, 2013

Andai Yang Dijemput Kembali Itu Adalah Kita






Pernah dengar berita kematian?


Pada kebiasaannya, apabila kita mendengar berita mengenai kematian, kita akan mengucapkan Innalillah waninailahi raji'un. Ada juga akan membaca al-fatihah untuk bersedekah. Andai yang mati itu adalah keluara kita, maka akan bertambah lagilah kesedihan itu.


Memang kematian itu adalah fitrah. Setiap yang bernyawa pasti akan mati jua. Maka bersedihlah dengan seadanya, selagi kesedihan kita itu berada dalam lingkungan keredhaan Allah SWT.


Andai, ada yang terdengar berita kematian itu, pernahkah mereka terfikir "kalaulah aku yang mati itu, apa pula nasib aku?"


Apa perasaan anda, kalau berita kematian itu bukan berita kematian orang lain, namun berita kematian tersebut adalah anda?


Nabi muhammad SAW pernah bersabda, seseorang yang meninggal diikuti (dihantar) oleh tiga hal. Maka dua hal pulang dan tinggallah satu.Dia dihantar keluarganya, hartanya, dan amalnya. Maka keluarga dan hartanya pulang dan tinggallah amalnya (hadis riwayat Bukhari)


Mati bukanlah satu pengakhiran bagi segala-galanya. Selepas kematian menjemput, kita akan menuju ke alam barzakh. Di sana kita akan disoal oleh Munkar dan Nankir. Hanya amal yang menemani kita. Baik atau buruk keadaan kita disana bergantung kepada amal kita. Kemudian, dibangkitkan semula pada Hari perhitungan dan dihisab pula amalan kita untuk menentukan syurga dan neraka.




Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia)"Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).
(al-mukminun 23 : 99-100)


Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): "Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!" (al-ghafir 40:46)



Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak. (asy-syuura 42:20)


Sudah jelas bahawa kematian merupakan pintu yang akan membawa kita alam yang lain. Bermula daripada Alam Barzakh kita sudah tahu bagaimana kita diakhirat kelak. Segala-galanya memerlukan amal yang cukup untuk menemani perjalanan kita sebagai seorang hamba selepas melangkah dari pintu kematian. Ketika itulah manusia beru tersedar akan kesilapan mereka kerana membazirkan sewaktu hayat mereka untuk beramal


Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): " Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka kami sedia menunggu)!", (yasin 36:48)


Diceritakan di dalam al-quran terdapat golongan yang merayu-rayu meminta pertolongan dan bantuan Allah SWT supaya dikemalikan mereka ke dunia untuk mereka mempersiapkan diri mereka. Namun, semua itu hanyalah sia-sia


Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin".


Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): "Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: ` Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)" (as-sajadah 23: 12-13)


Pernahkan kita terfikir akan perkara seperti ini." kalau waktu itu aku yang mati tapi bukan dia, macam mana agaknya?"



Sudah tentu akan ada satu rasa perasaan takut yang menusuk jiwa kita apabila yang mati itu adalah kita. Adakah kita sudah bersedia untuk nyawa kita ditarik oleh Allah SWT? Di saat kita mati, tertutuplah pintu amal, terkuncilah pintu taubat



"Oleh itu, pada hari ini tidak diterima penebus diri dari kamu, dan tidak juga dari orang-orang kafir. Tempat tinggal kamu ialah neraka, nerakalah sahaja penolong kamu, dan itulah seburuk-buruk tempat kesudahan kamu!" (al-hadid 57: 15)


Tiadalah mati itu datang dengan amaran. Mati itu datang secara tiba. Andai kita mati dan pengakhiran kita adalah Husnul Khatimah, maka beruntunglah kita. Andai pengakhiran kita adalah Su'ul Khatimah, maka tergolonglah kita dalam golongan yang bakal ditimpa azab diakhirat kelak


Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Ia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaatpun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan. (an-nahl 16 : 61)


Maka bersyukurlah dengan setiap saat kehidupan kita di muka bumi ini.


Bersyukurlah kita masih lagi diberi kesempatan untuk bernafas.


Maka, dengan nikmat yang masih ada ini, apakah yang akan anda lakukan?


Apakah anda masih lagi mempunyai masa untuk disia-siakan?

Sunday, May 26, 2013

Muqaddimah: Tasbih Ukhuwah




Aku termenung, mengenangkan nasib yang tak seberapa itu. Mengeluh

Siapa sangka adik akan dijemput seawal itu. Walhal adik masih kuat dan muda. Di tenung kembali gambar di tangan. Angin lembut bertiup menerpa pipinya. Siapa sangka air mata aku akan gugur. Memori bersama satu-satu adik kesayangan aku bermain difikirannya.

"Assalamualaikum"

satu suara memecah gegendang telinga aku. Aku cuba mencari pemilik suara itu. Bila berpaling kelihatan tiada sesiapa pun di situ. Tiba-tiba gugur sebiji rambutan dari pokok mengenai kepalaku.Secara automatik aku berpaling ke atas. Kelihatan seorang remaja sedang berada di atas. Remaja tersebut senyum kepadaku. Aku hairan dari mana datangnya remaja itu.

"Ingat aku lagi Adam?" sambil tersenyum remaja tersebut bertanya.

Aku membongkokkan badannya mencapai gambarnya yang jatuh dek kerana rambutan yang dibaling mengenai kepala.

"kau nak ape hah? tak senang ke tengok orang termenung?"

"Eh, aku nak berkawan je. Kesian aku tengok kau sorang-sorang kat bawah pokok".

Aku berlalu meninggalkan remaja tersebut. Sakit hati dibuatnya apabila dia mengenangkan memori lama. Kisah silamnya dengan remaja tersebut. Disebabkan remaja tersebut Aku terpaksa berlari keliling kampung tanpa seluar.

Sebelum aku melangkah masuk pintu rumah mak long, aku berpaling kepada remaja tersebut.
Remaja tersenyum sambil makan buah rambutan. Di tanganku terdapat buah rambutan yang dibaling remaja tersebut. Aku membaling buah rambutan tersebut namun tidak mengenai remaja tersebut. Remaja tersebut masih lagi tersenyum sambil ketawa. Sakit hati dibuatnya.

"Mikhail. Aku masih tak lupakan kau!"

Mikhail masih tersengih.

-------------------------------------------------------------------------------------------------


"Mama, Adam nak duduk kampung boleh? kalau boleh nak mintak pindah sekolah dekat sana. duduk sini pun Adam rasa lonely. Mama dan Daddy pun jarang ade kat rumah."

"Ok, but once a month anak mama kena balik KL."

"No prob." Adam bangun lalu dari sofa masuk ke bilik

Mamanya hanya mampu melihat dari jauh. Sudah hampir sebulan Adam menjadi pasif. Sejak kematian adik kesayangannya, Adam banyak termenung seorang diri. Disuruh melancong bersama rakan Adam menolak. Walhal sebelum ini, Adamlah paling suka melancong bersama rakan.

Adam menghempaskan dirinya ke atas katil. Mungkin ini adalah terbaik untuknya. Berpindah ke kampung. Mungkin suasana kampung dapat mengubat kesunyian di hatinya. Mama dan Papa jarang sekali berada di rumah. Yang tinggal hanyalah bibik dan dia.Sedikit demi sedikit memori lampau bersama adiknya bermain difikiran.



------------------------------------------------------------------------------------------------- 

Seusai aku menyelesaikan pendaftaran dipejabat sekolah, guru kelas ku, Cikgu Safiah membawaku ke kelas. Aku bagai terlopong. Mikhail? Satu kelas? Tidak! Terasa ingin ku berpatah balik. Takkan aku terpaksa sekelas dengan Mikhail? Aku memandang Cikgu Safiah dengan harapan aku akan ditukarkan kelas, namun pandangan aku tidak diendahkan.

"Perkenalkan ini Adam."

Aku cuba mengukirkan senyuman. Namun bila melihat Mikhail tersenyum, aku rasa geram dengan tingkah lakunya. Aku pejamkan mata dan menarik nafas sedalam-dalamnya dengan harapan aku mampu bersabar menghadapi Mikhail.

"Nama saya Muhammad Adam Mukhriz, berasal dari Selangor. Saya harap lepas ni kita boleh berkenal-kenalan lagi."

"Adam boleh duduk di tempat yang sediakan dibelakang. Kalau ada apa-apa Adam boleh cari saya di bilik guru,"

Aku bergerak ke tempat duduk yang disediakan. Kebetulan pula kelas sudah tamat. Mikhail datang menghampiri aku dengan wajahnya yang sentiasa tersenyum. Aku pula membalas dengan renungan tajam.

"Ape kau nak? Tak puas kau baling rambutan hari tu?"

"Saje, nak bersembang dengan kau sahabat."

"Siapa sahabat kau? cakap dekat aku"

"Kau la Adam. Siapa lagi yang aku tengah bercakap,"

Aku bangun meninggalkan Mikhail tanpa menoleh. Sudah cukuplah dengan perbuatannya sewaktu kecil. Aku muak dan menyampah setiap kali aku melihat seyuman yang terukir di wajahnya. Seakan-akan dia cuba memujuk aku melupakan kisah lama.


bersambung...

Tuesday, May 21, 2013

Mencari Ilahi


Setiap hari aku tengok buat benda yang sama. Tak bosan ke?
Tapi tiada langsung tanda-tanda di wajah mereka tu ada tanda kebosanan.
Siapa kah mereka ini?
Apakah agama Islam yang mereka anuti itu adalah agama yang membebankan?
Aku terus memerhati. Sambil mencari makna yang tersembunyi,di dalam kehidupan sekelompok manusia bergelar Muslim.

***********************************************************************

Sedang aku duduk mengambil angin di sebuah taman, aku terlihat seorang lelaki muda berbaju putih. Setiap kali aku melihatnya, terdapat ketenangan yang terpamir di wajah nya walaupun sudah hampir dimakan usia. Ingin sekali aku memanggilnya untuk berbual, namun aku gusar. Bukan kan mereka itu dipanggil sebagai terrorist yang sering kali melakukan kemusnahan?

Tiba-tiba, dia melihat aku dengan wajah nya yang tersenyum. “Ah,mungkin dia perasan setiap hari aku melihat dia melakukan kerja bodoh menyembah dinding.” Getus aku di dalam hati. Dia berjalan menghampiri aku. “boleh saya duduk saudara ku?” soal lelaki tersebut. “sila kan.”

Di dalam hati nya kagum melihat kesopanan yang dipamerkan. “ah, mungkin pura-pura baik jer tu”, getus aku. Lelaki tersebut hanya tersenyum mendengar apa yang di keluarkan sebentar sahaja tadi.

“kenapa? Saudara takut saya membunuh saudara?” soal lelaki tersebut.
Hairan. Dia seolah-olah tahu apa yang berada di fikiran ku.

“nama aku wan talha. Kamu boleh panggil aku wan sahaja. Jangan risau. Aku takkan melakukan keganasan seperti yang kamu fikirkan.” Lembut sungguh suaranya. Tiada tanda yang dia seorang terrorist.

“bukan kah orang islam selalu melakukan keganasan? Membunuh kanak-kanak? Merogol orang lain? Adakah itu adalah satu keganasan?” satu-satu persoalan yang keluar dari mulut ku. Sengaja ku simbah minyak ke dalam api.

“Islam agama kami bermaksud kesejahteraan.” Suara wan tenang. Seakan-akan mengusap lembut jiwaku. Ditambah pula senyumannya yang manis itu.

“Dan kami tidak akan membawa apa-apa melainkan kesejahteraan”

“Bohong. Bukankah orang-orang dari agamamu yang menyalakan api kekacauan? Meruntuhkan World Trade Centre dan mengancam kedamaian ummat?” Aku tidak berpuas hati.

“kami berperang untuk membawa keamanan dan kesejahteraan” jawab wan.
Aku terkejut dengan jawapan yang diajukan. Wujudkah peperangan sebegitu

“Muhammad bin Abdullah yang gila seks dan dahagakan darah itu?”
Terkoyak senyuman wan. “Nyata kamu tidak mengenalinya. Kamu sekadar membaca tulisan orang-orang kamu, kemudian kamu menilainya dengan penilaian kamu. Bukankah itu tidak adil?”
Ya. Jujurnya, tidak adil. Aku mengetahui itu. Sekarang aku seakan terperangkap.

“Baginda Rasulullah SAW, berpesan kepada kami agar tidak memotong rumput dan kayu sebarangan jika berperang, tidak menganggu rumah ibadah, dan tidak memperapa-apakan perempuan dan anak kecil”

“kamu tahu mengenai pembukaan kota mekah? Di mana baginda mengampunkan segala penduduk yang menyeksanya suatu ketika dahulu?”
Aku terpempan dengan jawapan yang diberikan. Sedikit pun tidak mengubah riak wajah nya. Terasa ketenangan dengan jawapan yang diberi oleh nya .

“Bagaimana kamu boleh nyatakan bahawa baginda dahagakan darah?”

“Habis, kenapa ummat Islam hari ini mengganas? Membunuh orang, dan merosakkan kedamaian kehidupan masyarakat? Lihat apa terjadi pada negaraku hari ini. Kacau bilau dan ketakutan disebabkan orang Islam”

“Ketahuilah saudaraku…” Wan memandang aku. “Aku tidak percaya itu dilakukan oleh orang Islam yang betul-betul beriman kepada Allah SWT dan taat kepada rasul-Nya. Dan jika benar sekalipun orang Islam yang melakukan, maka itu bukan anjuran Islam. Dia telah terkeluar dari jalan Islam yang sebenar”

Aku tidak mampu berkata apa-apa. Jika aku hendak menyalahkan agamanya kerana tindakan penganut, maka pastinya aku akan tertimpa dengan serangan ke atas agamaku pula. Bukan sedikit paderi-paderi yang terdedah melakukan hubungan seks dengan remaja bawah umur. Itu belum dikira dengan kempen menentang keganasan yang membuahkan lebih banyak kerosakan.

Kulihat wan tersenyum. “Saudaraku, kami ini adalah yang berusaha untuk menonjolkan imej Islam yang bersih, agar kamu semua melihat kasih sayang Allah terhadap kamu. Rasulullah itu, datang dengan Islam, dan Islam itu membawa kesejahteraan pada seluruh ummat. Kami, sedang membuktikan itu”

Aku tunduk. Tujuan utama untuk memprovokasi umat Islam di kediamanku terpatah begitu sahaja.

“Jom saudara ku. Marilah ke rumah ku untuk membicara dengan lebih lanjut mengenai Islam ini”

“eh, boleh kah sebegitu?” soal aku

“sudah lah. Mari kita berangkat. Nama kamu siapa?”

“Bernard”

“sudah la Bernard. Mari ke rumah ku. Aku yakin di sana segala persoalan terjawab”

***********************************************************************

“Islam dengan orang Islam itu adalah dua perkara yang berbeza. Islam daripada Allah SWT, maka peraturannya solid dan sempurna. Tetapi pada masa yang sama, orang Islam adalah manusia yang mempunyai kelemahan. Ada yang berjaya memanifestasikan Islam, ada yang tidak berjaya. Tetapi masih lagi, jika kita mengambil Islam sebagai cara hidup, ketenangan akan muncul dalam jiwa kita”

Itu kata-kata Wan ketika aku menziarahi rumahnya.Ketika aku sampai di sana, aku melihat rumah nya agak kecil. Namun seolah-olah ada kuasa ghaib yang menarik aku ke sana. Sebaik sahaja aku menjejakkan kaki kerumah nya, aku berasa seperti di syurga.

Anak-anak nya begitu sopan apabila melihat aku. Isterinya cukup sopan dan menjaga pergaulan nya. Tidak seperti isteri aku yang berada di rumah. Berpakaian terdedah dan bergaul bebas dengan lelaki yang lain. Malu aku apabila melihat keluarga Wan.

“Islam ini, pada mereka yang faham, adalah 24 jam, sepanjang 7 hari. Yakni setiap masa. Tiada rehat dalam menjadi hamba Allah SWT. Maka, setiap masa perlu kekal terikat dengan peraturan Islam”

“Adakah kamu semua tidak penat?”

“Apakah kebahagiaan itu satu kepenatan? Di dalam Islam ini, peraturannya, membuatkan kami bahagia” Wan mengusap kepala anaknya yang comel itu, sambil memandangku.
Aku tersengih bila mengingati bicaranya itu. 

Agamaku, hanya wujud di hari ahad. Malah, bila melakukan dosa, boleh pula diampunkan hanya dengan membayar wang. Dari satu sudut, aku melihat itu satu manipulasi gereja untuk mereka yang berdosa. Bagaimana manusia yang berdosa, yang tidak sempurna, boleh mengampunkan manusia lain?

“Kamu mempercayai Allah. Justeru, di mana Allah?” Soalan yang aku tertanya-tanya selama ini. Hairan dengan orang Islam yang mampu taat, sedangkan tuhan mereka tidak kelihatan.

“Kamu hidup selama ini dengan menyatakan wujudnya nyawa. Justeru, di manakah nyawa?” Wan menjawab soalanku dengan soalan.
Mataku membesar. Jiwaku rasa tertusuk. Perasaan apakah ini?

“Allah itu amat dekat dengan kita wahai Bernard. Dia adalah Pencipta kita. Yang paling memahami kita. Yang memenuhi hak-hak kita.Yang memahami segala isi hati menusia”

“Bagaimana dia boleh membahagikan masa pada ramai manusia di atas muka bumi ini? Aku tidak nampak logiknya” Aku masih ragu-ragu.

“Adakah Tuhan perlukan logik manusia? Dia itu Tuhan Bernard. Tuhan. Dia tidak terikat dengan hukum-hukum yang mengikat manusia serta makhluk-mahkluk lain”

Dia itu Tuhan Bernard… Dia itu Tuhan… Tuhan…

Aku rasa tertampar-tampar. Ya, apakah jika benda yang dipahat oleh manusia, boleh dikatakan sebagai Tuhan? Apakah yang memerlukan orang lain, boleh menjadi tuhan?

“Keistimewaan Islam, kami ada rasa hubungan yang dekat dengan Allah SWT. Dia ghaib, tapi kami beriman dengannya. Tanpa ragu. Menyebabkan kami sentiasa berjaga-jaga sepanjang masa dan waktu dalam memenuhi amanah-Nya, dan meninggalkan larangan-Nya. Ini juga membuatkan kami tidak takut, tidak mudah berputus asa, dan tidak merasa lemah”

Aku tersengih sendirian.

Perbualan-perbualan dengan Wan, membuatkan aku banyak berfikir.
Adakah kepercayaan, hubungan dengan tuhan ini, menyebabkan mereka seperti apa yang aku nampak?

Tenang, kuat, mempunyai maruah dan setiasa berkeyakinan?

“Tidakkah Islam ini ideologi Muhammad bin Abdullah sahaja?”

Wan menggeleng. “Islam itu adalah daripada Allah SWT. Rahmat pada sekalian alam. Rasulullah SAW hanyalah manusia yang dihantar untuk menyampaikannya, dalam keadaan baginda menjadi contoh hidup sebagai bukti bahawa Islam itu mampu diimplementasikan manusia”

Hatiku bergetar.

Islam…

Allah…


**********************************************************************


“Di dalam Al-Quran ini, ada petunjuk”

“Aku bukan orang Islam”

“Tidak semestinya orang Islam sahaja yang perlu membaca Al-Quran”

Dan aku mula mengkaji. Perbincangan dan perbahasan dengan Wan tempoh hari membuatkan aku dahagakan kebenaran. Aku mula melihat betapa Islam ini adalah satu sistem hidup yang patut dijadikan panduan.

Aku yang awalnya mengkaji Al-Quran untuk mencari kelemahannya, kini tidak mampu lagi menahan perasaan hati yang akan bergetar hebat setiap kali membaca ayat-ayat yang dikatakan kalam tuhan itu.

Pertama kali mengkhatamkan terjemahannya, aku berkata di dalam jiwa “Ini bukan kalam manusia,”.Semestinya. Aku tidak silap akan itu. Tiada kecacatan, malah pemilihan perkataan yang digunakan, adalah yang paling sesuai pada tempat yang hendak dinyatakan. Tiada percanggahan antara satu bahagian dengan bahagian yang lain. Jika ada kekeliruan, sentiasa ada penjelasannya. Malah, satu sistem hidup yang cantik dapat dilihat daripada Al-Quran ini.

Aku jadi rasa tidak cukup, lantas aku mengkaji kehidupan Muhammad bin Abdullah. Aku selak hadith-hadithnya. Aku teliti perjalanan kehidupannya.

Akhirnya aku tidak menjumpai apa yang dinamakan kecacatan.Yang selama ini membuat tohmahan daripada kaumku, aku dapat merasakan mereka mempunyai niat yang busuk. Mereka sekadar memotong-motong juzu’ hidup Muhammad bin Abdullah ini, tanpa mengungkit pula bahagian lain yang mengimbangi tindakannya pada bahagian yang disebutkan tadi.Yang ada hanya kebenaran.

Jiwaku seakan meronta-ronta.

Aku inginkan kebenaran!

Tuhan, apakah Kau membenarkan?

Sekarang aku mahu bukti yang terus daripada Tuhan yang bernama Allah ini.

Ya, aku ingin mencabarnya. Buktikan bahawa Dia benar. Aku tidak mahu mendengar kata orang lain. Aku tidak mahu bergantung pada buku. Aku sudah puas mengkaji. Sekarang, aku ingin Dia sendiri keluar membuktikannya kepadaku.

****************************************************************************

Malam itu begitu tenang. Sungguh menenangkan jiwa aku yang serabut dengan pelbagai persoalan. Aku berjalan keluar sambil membawa sekotak lilin. Aku membina satu medan yang dinamakan sebagai medan spiritual.Aku percaya bahawa Allah itu ada di dimensi lain. Dan hendak memanggil-Nya keluar, aku kira perlu menggunakan cara ini.”Mungkin ini lah malam nya” getusnya dalam hati

Aku memegang Al-Quran, membaca-bacanya dalam bahasa arab mengikut ajaran Wan selama ini. Aku sudah boleh membaca Al-Quran dalam bahasa aslinya. Lebih menusuk, lebih memberikan kesan.Sampai ke satu muka surat, aku berhenti. Aku mengambil nafas. Aku rasa sudah bersedia untuk memerhatikan tanda, keajaiban secara langsung daripada Allah SWT.

“Ya Allah!” Aku menjerit.

“mungkin inilah masanya untuk aku memeluk agama Islam.Agama kebenaran yang telah engkau sampaikan kepada Muhammad bin Abdullah.Aku hanya memerlukan sedikit sahaja tanda kekuasaan Mu”

Sunyi. Sepi. Aku sendiri dan tiada apa-apa berlaku. Di dalam kepalaku, aku mengharapkan lilin-lilin tadi menjadi api marak menjulang atau ada makhluk datang memberitahu aku itu dan ini.

Tetapi tetap tiada apa yang berlaku.

“Allah, ini peluang kau. Kalau tak, aku tak akan menerima Islam ini” Aku mengugut.

Aku hendak Allah muncul sendiri, atau paling kurag menunjukkan tanda.

“Bukankah Kau sangat berkuasa Ya Allah. Tunjukkan kekuasaan-Mu itu sekarang!”
Masih sunyi sepi. Yang menemaniku hanya desiran angin yang mask melalui tingkap.
Aku menggeleng. Mungkin Allah sibuk. Itu fikiranku.

“Tak mengapa. Aku masih memberikan Kau peluang. Aku akan tunggu petanda Kau di sini, dan Aku tidak akan berganjak!” Aku bersemangat dan bertegas.

Maka, aku memilih untuk menyambung pembacaan Al-Quranku tadi.
Kuselak muka surat sebelah untuk menyambung pembacaan.

Ayat itu kubaca.

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.” Surah Al-Baqarah ayat 164.

Dunia seakan menjadi terlalu sunyi. Aku seakan terserap ke dalam alam lain. Bulu romaku meremang naik. Tubuhku bergetar hebat. Pada pemikiranku mula muncul awan tanpa tali, bumi yang berputar pada paksi tetapi tiada yang menjadi paksinya, planet-planet yang bergerak dengan kemas di dalam orbit tanpa berlanggaran, kitaran hidup haiwan dan tumbuhan, kitaran air, kadar udara yang sangat-sangat sempurna, peredaran darah di dalam tubuh manusia, dan 1001 lagi kejadian yang menakjubkan yang berlaku dalam kehidupan manusia.

Air mataku mencucur.

Allahuakbar.
Allahuakbar.
Allahuakbar.

Aku sujud.

“Sesungguhnya aku naik saksi, tiada tuhan melainkan Allah, dan Muhammad itu Utusan Allah”


Sunday, May 19, 2013

Bila baju melayu bertemu baju kurung



Ini adalah peringatan yang mungkin sudah basi. Aku yakin, ramai berkata begitu. Haha


C.I.N.T.A merupakan satu fitrah yang wujud dalam diri kita dan aku yakin ramai yang pernah merasai cinta ini. cinta antara sahabat,keluarga, rasul dan barang-barang kepunyaan kita. Jadi, cinta itu cukup indah andai ia diletakkan di tempat yang betul,jika diberikan kepada yang tepat dan cara yang benar mengikut landasan islam

Dalam masyarakat kita, percintaan sering kali dikaitkan dengan rumah tangga yang tidak akan tenteram kerana mereka saling tidak mengenali antara satu sama lain terlebih dahulu. Maka dari sini wujudlah satu percintaan sering diagung-agungkan oleh masyarakat kita iaitu percintaan selepas perkahwinan yang dikatakan akan bahagia hingga ke anak cucu.



Percintaan ini wujud kerana masyarakat kita tersalah tafsir dek kerana terpengaruh dengan lakonan-lakonan di kaca televisyen yang digambarkan cukup indah. Cinta antara lelaki dan perempuan tanpa batasan, dengan ciuman, keluar berdua-duaan, berpegangan ketika berjalan tanpa mengira batas dan tatatertib masyarakat.


Aku yakin kalau aku tanya siapa yang patut kita cintakan dahulu, sudah tentulah banyak lidah yang akan mengatakan Allah.Selepasnya adalah rasul.Namun bila hati berbicara lain,siapa yang tahu. Jadi sudah tentulah ramai diantara kita mempunyai pengetahuan luas mengenai pemilik cinta yang pertama. Namun, sejauh manakah kita jelas mengenai cinta terhadapNya.

Dalam sehari, berapa kali kita ingat Allah? kita kata Allah pemilik cinta kita yang utama. Aku ambil yang paling minimum. solat satu waktu 5 min. 5 waktu jadilah 25 minit. aku ambik waktu tidur 5 jam la. tolak makan minum melepas hajat mandi, aku genapkan jadi 35 minit. dan keseluruhan nya adalah 6 jam.. berbaki lagi 18 jam. Agak-agak dalam 18 jam ni ada kita ingat Allah? kalau ada berapa banyak?

Tadi dah cakap pemilik cinta yang hakiki adalah Allah. tapi berapa banyak masa yang diperuntukkan untuk bersama. biasanya kan orang bercinta akan jadi angau, sentiasa terbayangkan wajah kekasih. Sebut nama kekasih pun dah boleh buat pipi merah. haha.

Lau Kaana Bainana

Sudah tentulah pemilik cinta kita yang seterusnya adalah rasul. Tetapi, adakah itu dijawab dengan kefahaman yang tepat?

Cukupkah cinta kita terhadap Rasulullah SAW? kita cakap kita cinta allah. kita solat 5 waktu. beres kerja. tapi, apa yang kita buat untuk membuktikan cinta terhadap rasul.Selawat? cukup lah kot kalau kira dalam solat. cuba kita kira selepas solat. semoga lidah kita tidak kering menuturkan selawat.

Cukup ke perasaan cinta kita begitu sahaja? Hanya sekadar selawat dalam solat? Rasulullah adalah pemilik cinta kita yang kedua. Pada saat kewafatannya, baginda masih mengingati kita. Namun, aku yakin ramai akan cakap "sakit" pada akhir hayat mereka.









Dan tibalah saatnya kita memberikan cinta kita pada pemilik yang seterusnya. Yang halal buat kita semua. Apabila Baju melayu bertemu baju kurung, hati mula bergetar. Terasa itu perasaan cinta. Adakah itu cinta yang halal? Benar atau tidak bergantung kepada tindakan yang akan di ambil seterusnya.

Betul atau salah bergantung kepada apa yang kita lakukan selepas itu. Jika kita memilih mendekati kepada jalan yang salah, kita menghampiri kepada cinta yang salah. Dan bermulalah proses penghasilan lubuk-lubuk dosa kita. Lubuk dosa yang penuh dengan angan-angan, lubuk dosa yang penuh dengan tangisan merajuk, lubuk dosa yang penuh pembaziran wang ringgit dan waktu, lubuk dosa yang penuh dengan syakwasangka kepada si dia yang mungkin curang, lubuk dosa dengan pergaduhan, lubuk dosa dengan ungkapan sayang yang bersifat luaran, lubuk dosa dengan berbangga dengan gambar-gambar berdua-duaan, yang mendekatkan diri kepada zina mata, zina hati. Dan terlebih bimbang jika pengakhirannya akan membawa penyesalan kepada diri- sendiri.


Tapi jika kita memilih menyalurkannya kepada jalan yang betul, ini akan menjadi sebuah cinta yang halal, cinta yang mampu menjadi lubuk pahala bagi kita. Lubuk pahala yang mampu memberikan ganjaran berlipat-lipat ganda.



Jika sudah bersedia, pilihlah untuk berkahwin. Tetapi bukan dengan cara bercinta sebelum berkahwin dengan lelaki yang tidak halal bagi kita. Ada cara-cara tertentu, antaranya melalui orang tengah yang kita thiqah padanya, atau ibubapa. Kita terjaga, maruah kita terjaga, dan keberkatanNya ada. Kita ingin membina sebuah rumahtangga yang barakah, bercinta hingga ke syurga. Macam mana nak bercinta hingga ke syurga apabila sebuah rumah tangga dimulai dengan perkara-perkara yang tidak diredhai Allah?


Cinta fitrah ini yang berakhir dengan sebuah perjanjian kuat yang indah, menjadi sebuah pelengkap agama. Dan seterusnya, lubuk pahala ini akan terus terisi dengan menjadikan diri sebagai seorang isteri solehah yang terbaik buat si dia yang halal, pemilik cinta kita selepas Allah dan RasulNya.


Bagi yang sedang bercinta dengan seorang lelaki yang belum halal bagimu, jika belum bersedia untuk berkahwin dalam masa yang terdekat, kuatkanlah diri, pilihlah untuk mengakhiri percintaan yang salah.

Takut? Percayalah, Allah akan beri kekuatan. Jika benar si dia yang masih belum halal adalah untukmu, Allah akan hadirkan dia kembali buat dirimu. Janji yang Allah tak pernah mungkiri bahawa setiap makhluknya diciptakan berpasang-pasangan. Dan pasti ada pasangan yang tertulis namanya di Lauh Mahfuz untukmu. 

Dan bila kita meninggalkan sesuatu kerana Allah, Allah akan gantikan dengan sesuatu yang pasti lebih baik untuk kita. Kita mesti benar-benar percaya kerana Allah adalah pemilik cinta kita yang utama, yang takkan sesekali menipu hambaNya. Keyakinan dan keimanan ini adalah bukti cinta kita kepada pemilik cinta kita yang pertama iaitu Allah.

Cinta ini adalah lubuk pahala. Jika belum bersedia, atau belum mampu, atau belum tiba masanya, tetapi perasaan fitrah itu sudah ada, inilah yang akan menjadi lubuk pahala bagi kita. Bermujahadahlah. Tambahlah istighfar kepadaNya, berpuasalah untuk menjaga sebuah fitrah yang indah ini, dan teruslah berdoa. “Prayer is the best armor against all trials”.

Dan dalam masa menanti seorang yang soleh hadir, kita bukan hanya perlu mencari, tetapi perlulah menjadi. Berusaha menjadi seorang wanita yang solehah, dan cuba memperbaiki kekurangan diri semampu yang mungkin.


Bila baju melayu bertemu baju kurung, biarlah hanya untuk yang halal

Muqaddimah : Perjuangan yang harus diteruskan


Sebelum aku berkata lebih panjang, adalah lebih baik aku mulakan dengan coretan "Bismillahirrahmannirahim" dan memberi salam kepada semua yang sudi meluangkan masa untuk memabaca tulisan-tulisan picisan aku ini.

Mengapa aku menulis? Mengapa kini? Mengapa bukan dahulu? Adakah aku terikut-ikut dengan trend blogging yang seakan-akan menjadi kegilaan para remaja sekarang? Atau adakah aku berasa rendah diri, kecil apabila melihat pemikir-pemikir muda yang berani menyuarakan pendapat-pendapat mereka di alam maya ini. Mungkin juga.

Seperti yang tertulis di header blog ini, aku ingin berjuang di jalan Allah. Aku ingin mengisi masaku untuk berjuang di jalan Allah. Aku mengimpikan kematian yang diredhai Allah samalah seperti hadis ghulam. Dia mencari kematian dalam keadaan yang diredhai Allah. Aku ingin berada di tahap kemuncak agar aku dapat mengimpikan kematian yang menghidupkan.

Adakah cukup untuk aku sekadar menjadi muslim yang baik? Yang mana cukuplah bagi aku mengerjakan rukun Islam sedangkan aku mengharapkan syurga Allah namun amalan aku amat lah sedikit jika dibandingkan dengan para sahabat.

Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang di usahakannya
An-Najm ayat ke 39

Mungkin aku masih lagi tidak layak untuk ke syurga lagi (sedih ). Dan kerana itu aku mahu berjuang di jalan Allah.


Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya, dia (Allah) memberikannya
kefahaman dalam ad-deen.


Jika dilihat sejarah, penulisan telah membuktikan ia mampu memberi bekas yang mendalam dalam seseorang. Karl Marx dan penulisannya "Das Kampitan" mampu melahirkan ideologi Komunisme sehingga kini masih lagi diagung-agungkan.dan pada saat ini jari ku tidak henti-henti menari di atas keyboard ini. 

Dari Abi Hurairah Ra, Dari Rasulullah SAW berkata:Kamu akan dapati manusia itu seperti logam (himpunan berjenis besi-besi), baiknya mereka di waktu Jahiliyyah, baik juga mereka di waktu Islam, sekiranya mereka faquh (faham).

Setiap manusia mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Andai mereka hebat sewaktu jahiliyah, mereka juga hebat semasa Islam dengan syarat dia faham Islam itu sendiri.

Mungkin ini sekadar picisan kosong atau biasa didengari. Aku menulis bukanlah untuk perhatian, bukan untuk kebanggaan, bukan juga untuk pujian.Biarlah kata mereka.